Kerajaan melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) telah menubuhkan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) untuk menyediakan pusat capaian jalur lebar secara kolektif di kawasan yang kurang liputan perkhidmatan melalui Program Perkhidmatan Sejagat (USP).
Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) yang dahulu dikenali dengan nama Pusat Ekonomi Digital (PEDi) mempunyai peralatan IT dan komputer individu yang bersambung dengan capaian jalur lebar internet, membolehkan komuniti luar bandar menikmati kebaikan internet seperti yang dirasai oleh komuniti di bandar.
Untuk memastikan komuniti luar bandar meningkatkan taraf sosial dan ekonomi, mendapat kebaikan daripada peralatan IT dan penyambungan internet, setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) menyediakan latihan dan perisian komputer.
Melalui penubuhan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI), diharapkan ia akan menyumbang ke arah kejayaan insiatif negara untuk merapatkan jurang digital antara komuniti luar bandar dan bandar, selaras dengan objektif yang digariskan di dalam pelaksanaan Inisiatif Jalur Lebar Negara (NBI).