Sumber: Media Sosial Rasmi Jabatan Imigresen Malaysia

𝗣𝗘𝗡𝗚𝗚𝗔𝗡𝗧𝗜𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗦𝗣𝗢𝗥𝗧 𝗣𝗘𝗥𝗖𝗨𝗠𝗔 𝗞𝗘𝗣𝗔𝗗𝗔 𝗠𝗔𝗡𝗚𝗦𝗔 𝗜𝗡𝗦𝗜𝗗𝗘𝗡 𝗞𝗘𝗕𝗔𝗞𝗔𝗥𝗔𝗡 𝗣𝗔𝗜𝗣 𝗚𝗔𝗦 𝗗𝗜 𝗣𝗨𝗧𝗥𝗔 𝗛𝗘𝗜𝗚𝗛𝗧𝗦

PUTRAJAYA, 3 April 2025 - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) prihatin terhadap kebajikan mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights. Selari dengan pengumuman penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa insiden kebakaran semalam, Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail hari ini telah mengarahkan JIM menawarkan penggantian Pasport Malaysia Antarabangsa secara percuma kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights.

Mangsa yang pasportnya hilang atau rosak akibat kebakaran boleh mengemukakan permohonan penggantian pasport tanpa sebarang bayaran di mana-mana Pejabat JIM yang berdekatan. Syarat bagi penggantian pasport percuma ini adalah seperti berikut:
i. Pasport masih sah dengan tempoh sekurang-kurangnya enam (6) bulan
ii. Membawa pasport asal (sekiranya masih ada)
iii. Menyerahkan salinan laporan Polis, Bomba atau Pihak Berkuasa Tempatan

Inisiatif ini bertujuan membantu mempermudah urusan mangsa yang pasportnya hilang atau rosak akibat kebakaran. Untuk sebarang pertanyaan lanjut, pemohon boleh hadir ke mana-mana Pejabat JIM yang berdekatan bagi mendapatkan maklumat dan bantuan selanjutnya.

JIM terus komited dalam memberikan perkhidmatan terbaik serta memastikan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan dan semoga inisiatif ini akan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh mangsa-mangsa insiden.

#imigresen #kementeriandalamnegeri #keselamatantanggungjawabbersama #malaysiamadani #putraheights

image