Kempen Internet Selamat (KIS) Negeri Kelantan
Tarikh: 28 Mei 2025
Masa: 11.00 pagi – 1.00 tengah hari
Tempat: SK Banggu, Kelantan
Anjuran: NADI Kampung Panjang Banggu
Kerjasama: NADI Bandar Satelit Pasir Tumboh, NADI Pantai Sabak, NADI Salor, NADI Padang Kala
Seramai 350 murid Tahap 2 (Darjah 4, 5 dan 6) telah menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) yang menggunakan Modul KIS Tahap 1, khusus untuk kanak-kanak bawah 13 tahun. Pelaksanaan modul ini bertujuan mendidik pelajar tentang risiko dunia digital dan membekalkan mereka dengan pengetahuan serta kemahiran asas keselamatan dalam talian.
Bagi melancarkan perjalanan program, pelajar dibahagikan kepada lima kumpulan dan mengambil bahagian dalam aktiviti seperti ice breaking (Pecah Ruyung) dan Teka Gambar. Suasana sepanjang kempen sangat meriah dengan penyertaan aktif para pelajar yang berebut-rebut menjawab soalan – membuktikan minat mereka terhadap topik yang diketengahkan.
Antara mesej utama yang disampaikan ialah kepentingan had umur 13 tahun sebelum menggunakan media sosial, sebagai langkah perlindungan daripada ancaman seperti buli siber, penipuan, dan kandungan berbahaya. Kanak-kanak pada peringkat usia ini masih belum matang untuk menilai risiko digital, dan tindakan memalsukan umur boleh memberi implikasi undang-undang serta menyebabkan akaun digantung.
Modul ini turut menekankan literasi digital dan etika penggunaan internet, supaya murid lebih bertanggungjawab dan berhati-hati ketika melayari dunia maya. Melalui pendekatan yang interaktif dan menyeronokkan, kempen ini berjaya menyampaikan mesej penting secara berkesan.
Sempena kempen ini juga, pihak penganjur meminta pihak sekolah mencalonkan dua individu sebagai ikon KIS
1. Ikon Murid – Seorang pelajar yang hadir ke program dan menunjukkan contoh terbaik dalam penggunaan internet secara positif dan selamat.
2. Ikon Guru – Seorang guru (terutamanya guru ICT) yang mampu menyampaikan maklumat berkaitan keselamatan dalam talian kepada para pelajar secara berterusan.
Sebagai nilai tambah, pihak NADI turut melaksanakan saringan kesihatan percuma untuk guru sebagai sebahagian daripada inisiatif Perkhidmatan Pintar NADI, menunjukkan komitmen bukan sahaja terhadap keselamatan digital, tetapi juga kesejahteraan komuniti sekolah secara menyeluruh.
Secara keseluruhan, kempen ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran digital dalam kalangan murid, malah menggalakkan penggunaan internet yang selamat dan beretika. Ia juga menyumbang kepada pembentukan persekitaran dalam talian yang lebih positif, sihat dan bebas daripada ancaman siber.
#nadikampungpanjangbanggu
#pusatsebaranmaklumatnational