Media Sosial Rasmi Jabatan Pendaftaran Negara
BAS MEKAR JPN DIGERAKKAN UNTUK BANTU MANGSA KEBAKARAN PUTRA HEIGHTS BUAT PENGGANTIAN DOKUMEN PERCUMA
2 April 2025, Putrajaya – Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan menyediakan perkhidmatan penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma kepada mangsa insiden kebakaran paip gas di Putra Heights. Mangsa yang kehilangan kad pengenalan, sijil kelahiran, atau dokumen lain yang dikeluarkan oleh JPN boleh mendapatkan dokumen gantian tersebut tanpa sebarang bayaran. Bas MEKAR JPN akan ditempatkan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Masjid Putra, Putra Heights pada hari esok, 3 April 2025 (Khamis), dari jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang.
Menyedari keperluan mendesak mangsa-mangsa insiden tersebut mendapatkan dokumen pengenalan diri mereka, Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Saifuddin Nasution Bin Ismail telah mengarahkan JPN untuk menggerakkan perkhidmatan Bas MEKAR ke lokasi berkenaaan bagi meringankan beban mangsa yang tentunya menghadapi kesukaran untuk ke Pejabat JPN pada masa sekarang.
Inisiatif ini turut bertujuan untuk memastikan mangsa kebakaran dapat memperoleh dokumen penting mereka dengan segera, sekaligus memudahkan sebarang urusan rasmi yang memerlukan dokumen tersebut kelak.
JPN komited untuk memberikan bantuan terbaik kepada masyarakat yang terjejas dan berharap usaha ini dapat membantu mangsa serta keluarga mereka dalam situasi yang mencabar ini.
Untuk sebarang pertanyaan lanjut mengenai perkhidmatan ini, orang ramai boleh menghubungi JPN di talian 03-8880 7077.