Komuniti MADANI sebagai badan sukarela pelbagai kaum ditubuhkan untuk memupuk nilai-nilai murni dan kenegaraan dalam kalangan rakyat melalui tiga teras utama iaitu membantu pemasaran maklumat kerajaan, mendigitalkan komuniti serta memupuk semangat perpaduan, patriotik dan kenegaraan.
Usaha menyebar luas konsep dan hala tuju Malaysia MADANI adalah tanggungjawab bersama dan Komuniti MADANI bersedia bergerak sebagai satu pasukan yang mendukung semangat perpaduan demi kesejahteraan negara. Konsep Malaysia MADANI yang diaspirasikan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengutamakan keseimbangan komuniti dalam pembangunan negara supaya kemajuan serta kemakmuran dirasai rakyat. Malaysia MADANI adalah panduan dan ikhtiar secara bersepadu sebagai dasar pentadbiran yang lebih manusiawi bertunjangkan sikap saling menghormati dan meraikan kepelbagaian.