Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) merupakan salah satu inisiatif yang dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di bawah Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS).
Objektif NADI adalah seperti berikut:
Menyediakan capaian Internet secara kolektif kepada komuniti khususnya di luar bandar dan dari kawasan yang kurang liputan perkhidmatan;
Memperkasakan komuniti melalui program-program yang lebih mampan dan relevan untuk merapatkan jurang digital, pengetahuan dan sosio-ekonomi. Program-program yang ditawarkan di NADI merangkumi empat (4) bidang fokus utama iaitu keusahawanan, e-pembelajaran sepanjang hayat, kesejahteraan kendiri, kematangan dalam penggunaan Internet; dan
Menyediakan platform untuk masyarakat luar bandar terutamanya komuniti sekitar NADI mendapat maklumat yang terkini dan tepat berkenaan inisiatif-inisiatif Kerajaan seperti PADU, Manfaat MADANI dan BUDI MADANI agar semua lapisan masyarakat tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara.
Di bawah aspirasi 1 DUN 1 NADI, 188 NADI baharu sedang dibangunkan. Daripada jumlah tersebut, 154 NADI telah siap dan beroperasi setakat 31 Disember 2024. Baki 34 NADI baharu kini sedang dalam fasa pelaksanaan. Ini menjadikan jumlah NADI yang sedang beroperasi setakat ini adalah sebanyak 1065 NADI. Menjelang suku pertama 2025, sebanyak 1,099 NADI dijangka akan beroperasi di seluruh negara.